KANGAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keputusan untuk menaikkan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember tahun ini mampu direalisasikan dengan mengawal pengurusan kewangan negara.

Menurut beliau, ketegasan dalam menguruskan kewangan juga mampu untuk memberikan lebih banyak manfaat serta barakah selepas ini kepada kumpulan terbabit.

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, keputusan untuk menaikkan gaji penjawat awam juga adalah merupakan satu ganjaran yang adil kepada golongam itu atas usaha untuk meningkatkan kefahaman kerja serta disiplin dalam bidang masing-masing.

"Tetapi bagaimana (dengan) hutang (negara sebanyak) RM1.5 trilion, (dengan) defisit 5.6 peratus, turun 5 peratus tahun ini dan insya-Allah kita turun lagi tahun depan, kita boleh (laksanakan kenaikan gaji), (ini) kerana kita boleh kawal pengurusan kewangan (negara),

"Saya yakin ada (juga) barakah, ada nikmat kalau kita betul-betul 'straight' dan 'rigid' dalam hal ini,

"Saya ingat orang (ramai) berterima kasih tetapi (ada pihak yang) serang lagi, kata (bahawa) 15 peratus itu (bukan paling) tinggi, (sebelum ini) ada 35 peratus, dengarlah dahulu, 15 peratus itu secara umum kalau orang itu pendapatan rendah, (contohnya) ada anak muda seorang (yang saya jumpa) kata dapat elaun RM1,200,  (dengan gaji) minima RM2,000, (jadi) sekarang yang naik itu nanti 35 peratus.

"(Memasuki) tahun hadapan 2025, kos (untuk laksanakan) ini (akan menelan belanja) RM10 bilion lebih, untuk bayar (gaji), ada orang kata dalam keadaan hutang macam mana nak bayar, itu takpa (ianya) kerja Menteri Kewangan (untuk fikir)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perkampungan Sunnah di Masjid Alwi, Kangar, pada Jumaat.

Pada Rabu, Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak lebih 13 peratus bermula 1 Disember 2024.

Menurut Anwar, kenaikan itu adalah yang paling tinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara berbanding kenaikan 13 peratus sebelum ini.

Beliau juga memberitahu kenaikan gaji penjawat awam akan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Ini termasuk pendapatan menyeluruh penjawat awam meliputi gaji dan elaun tetapi mesti melebihi RM2,000 sebulan bermula tahun ini.